Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, dalam usaha Hajiji mengekalkan jawatannya selepas Pilihan Raya Umum (PRU-15), ia menyebabkan wujud ketidakstabilan dalam kerajaan sedia ada.
Setelah gagal membentuk kerajaan Persekutuan apabila Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)/Perikatan Nasional (PN) tidak memperoleh majoriti, Hajiji telah bertindak keluar parti.
Kini, kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah tidak lagi sah kerana beliau tidak lagi mempunyai parti. Kali pertama dalam sejarah, seorang Ketua Menteri tidak mempunyai parti.
Justeru, sebarang kenyataan daripada Ketua Menteri Sabah dan penyokongnya untuk mengambil hati rakyat Sabah, tidak akan boleh memberhentikan spekulasi bahawa kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri tidak lagi boleh dikekalkan.
Hajiji seharusnya meletak jawatan sejajar dengan peruntukan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri Sabah.
Merujuk kepada Perkara 6 (3) dan Perkara 6 (7) Undang-Undang Tubuh Negeri Sabah di mana mengkehendaki Ketua Menteri Sabah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi ketua parti yang memenangi majoriti kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Tiada sesiapa yang boleh mengesahkan bahawa Hajiji mempunyai kepercayaan majoriti ADUN Sabah dan perlulah ditegaskan setiap ADUN mempunyai hak untuk memilih mana-mana ADUN lain untuk menjadi Ketua Menteri Sabah dengan mengesahkan sokongan mereka kepada Yang Dipertua Negeri Sabah pada bila-bila masa.
Kenyataan Ketua Menteri Sabah untuk menubuhkan parti baharu semata-mata bagi mengekalkan jawatannya bukan hanya menunjukkan sifatnya suka melompat parti malah, ia juga merupakan pengkhianatan kepada mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah.
Gabungan Rakyat Sabah ditubuhkan oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRN Sabah pada tahun 2020 yang turut dianggotai oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya didaftarkan sebagai sebuah parti yang sah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tidak dijelaskan sama ada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah sebagai tulang belakang GRS telah memutuskan untuk keluar atau kekal bersama GRS.