Kembangkan Sistem Maklumat HUMS Ke Hospital Kerajaan, Stephen

548
Kamarudin bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi (kanan) menandatangani MoA, sambil disaksikan oleh Stephen serta Ahli Lembaga Pengarah UMS dan Pegawai HUMS

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat melihat kemungkinan untuk mengadaptasi sistem teknologi canggih yang bakal digunakan di Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke hospital-hospital kerajaan yang lain.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong berkata, sekiranya sistem itu berjaya, pihak kementerian akan melihat kemungkinan untuk mengunapakai sistem berkenaan di hospital-hospital kerajaan yang ada dalam mengurangkan masa menunggu ketika pendaftaran pesakit dan semasa ingin mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, dengan beroperasinya Hospital Pengajar UMS ini, ia akan dilengkapi dengan peralatan dan sistem berteknologi canggih dimana, sistem pengurusan hospital berasaskan aplikasi ‘Hospital UMS Information System’.

Menurutnya, kewujudan hospital berkenaan juga dilihat akan membantu meningkatkan potensi industri pelancongan perubatan.

Kamarudin (kiri) bertukar dokumen MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Health4u Solutions Sdn Bhd Datuk Chevy Beh (tiga kanan), sambil disaksikan oleh Stephen (empat kanan)

“Apabila hospital berkonsepkan hospital pintar ini siap, ia pasti menarik minat pengunjung luar untuk mendapatkan khidmat rawatan kesihatan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata ketika Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Memorandun Persefahaman (MoU) antara UMS dan Health4U Solution Sdn Bhd, di sini pada Selasa.

Stephen berkata, kewujudan hospital berkenaan akan turut membantu meningkatkan tahap kesihatan rakyat di negeri ini.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Datuk Dr D Kamarudin D. Mudin berkata, proses pembinaan Hospital Pengajar UMS itu berjalan lancar dan mengikut jadual yang asal.Ia dijangka siap pada 2021.

Katanya, pembangunan hospital berkonsep pintar pertama di Borneo itu bukan hanya menggunapakai peralatan canggih tetapi juga menggunakan aplikasi Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dalam sistem pengurusan dan pentadbiran hospital.

“Bila menyentuh tentang hospital pintar, ia memang melibatkan peralatan canggih sebagai medium bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.

“Namun kita kena ingat jika teknologi itu sendiri sahaja pintar tapi ia harus diiringi dengan langkah dan pentadbiran yang pintar,” ujarnya.

Hospital Pengajar UMS adalah hospital universiti pertama di Borneo dan keenam di Malaysia.

Hospital yang mula dibina pada Mac 2018 dengan kos berjumlah RM652 juta itu akan dilengkapi dengan 400 katil, 25 dewan pembedahan, 12 unit bersalin dan pelbagai kemudahan infrastruktur terkini.