Kematian Tiga Penyelam Di Semporna Diklasifikasi Membunuh Dengan Niat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Insiden tiga penyelam termasuk seorang jurulatih selaman dan dua pelancong China yang maut terkena bom ikan ketika menyelam di Pulau Kulapuan, Semporna pada 5 Julai lepas akan disiasat sebagai kes membunuh dengan niat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, dalam kes ini jelas menunjukkan impak bom ikan membawa kepada kematian.

“Cuma dalam kes ini kita tidak tahu siapa yang mahu membunuh. Itu kita masih siasat,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes kematian tiga penyelam berkenaan, di sini pada Isnin.

Pada 10 Julai, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah mengesahkan punca kematian tiga penyelam di Pulau Kulapuan,Semporna pada 5 Julai itu adalah disebabkan bom ikan.

Polis mengesahkan perkara itu setelah menerima keputusan bedah siasat penuh daripada Hospital Tawau.

“Keputusan penuh sudah diperoleh awal pagi ini (Rabu) sebaik sahaja proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa selesai pada 5 pagi.

“Keputusan penuh menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat terkena letupan. Keputusan bedah siasat turut menunjukkan ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan dalaman yang teruk termasuk keretakan di bahagian tengkorak, patah tulang, tulang rusuk patah serta pendarahan dalaman pada saraf serta abdomen,” jelasnya.

Tiga mangsa iaitu Zainal Abdun,31, serta dua pelancong China iaitu Zhao Zheng,26, dan Xu Yingjie,26, ditemukan maut ketika melakukan aktiviti selaman skuba di Pulau Kulapuan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, ditanya tentang perkembangan kes penahanan gading gajah yang didakwa diseludup masuk dari Lahad Datu ke Kalimantan, Indonesia, Zaini berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan polis mengenai kes itu.

“Setakat ini belum ada laporan polis yang dibuat,” ujarnya.

Pada 9 Julai, Polis Kalimantan mengagalkan cubaan membawa masuk 10 gading gajah oleh seorang lelaki warga Indonesia yang mengaku menetap di Malaysia sejak 32 tahun.

Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan di Pelabuhan Tunontaka, Nunukan ketika melalui pemeriksaan kastam.

Tribun Kaltim.Co melaporkan penahanan gading gajah yang dibawa lelaki itu dilakukan dalam operasi bersama antara Balai Penegakan & Hukum (Gakkum) Lingkungan Hidup dan Kehutanan Wilayah Kalimantan, Bea dan Cukai Nunukan, Polda Kalimantan Utara, Polres Nunukan dan Balai Konservasi & Sumber Daya Alam, Kalimantan Timur.

Gading gajah itu diseludup masuk bertujuan untuk dijadikan mahar pernikahan untuk dibawa ke Nusa Tenggara.