Kem Pelajaran Sedia Peruntukan Elakkan Berlaku Keciciran Pelajar

Yusof Yacob menyampaikan surat tawaran pekerjaan kepada Freselly Martin,20, yang berasal dari Tenom.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi akan menyediakan peruntukan khas bernilai RM5juta bermula tahun depan bagi membantu golongan pelajar miskin yang tidak mampu melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta (IPTA/S).

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, usaha itu diambil bagi memastikan tiada lagi keciciran berlaku dalam kalangan pelajar yang layak melanjutkan pengajian tetapi tidak boleh berbuat demikian disebabkan masalah kewangan yang dihadapi keluarga.

Oleh itu, peruntukan khas ini akan diambil melalui peruntukan biasiswa yang berjumlah RM52 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri pada tahun depan.

“Saya akan minta RM5juta ini dikeluarkan sebagai peruntukan khas yang akan membantu pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar bandar terutama dari keluarga miskin atau golongan B40 untuk melanjutkan pengajian ke IPTA/S.

“Secara purata jika kita memperuntukkan RM20,000 setiap seorang untuk 2,500 pelajar maka dalam tempoh lima tahun, kita berjaya membantu lebih kurang 10,000 orang pelajar miskin.

“Sebaik sahaja mereka ini menamatkan pengajian dan memperoleh pekerjaan, mereka akan dapat membantu membawa keluar keluarga mereka daripada garis kemiskinan. Itulah matlamat yang ingin kita capai,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Latihan Kemahiran & Kerjaya Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Kota Kinabalu 2018, di sini pada Ahad.

Yusof berkata, kementeriannya akan bermula dengan peruntukan RM5juta terlebih dahulu dan jumlah itu akan ditambah mengikut keperluan dan keadaan kewangan kerajaan pada masa akan datang.

Beliau berkata, kementerian itu juga akan memberi fokus kepada usaha melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran bagi memenuhi kehendak pasaran yang kini menuju ke arah sektor perindustrian.

“Hala tuju negeri Sabah kini adalah untuk mengembangan industri hiliran dalam bidang kayu kayan, minyak dan gas serta sumber asli yang lain.

“Untuk itu, kementerian ini berperanan menyediakan tenaga kerja berkemahiran dalam kalangan anak-anak tempatan agar mereka dapat memenuhi keperluan industri pada masa akan datang.

“Tiada gunanya kita mempunyai sumber asli yang pelbagai sekiranya ia tidak mampu dimanfaatkan untuk rakyat dan pembangunan di negeri ini,” ujarnya.

Yusof memukul gong sebagai simbolik perasmian Pameran Latihan Kemahiran & Kerjaya JPSM, turut kelihatan Pembantu-pembantu Menteri Pelajaran & Inovasi Jenifer Lasimbang (dua kanan) dan Mohammad Mohamarin (dua kiri).

Dengan itu, kementerian itu akan terus memperkasakan institusi pengajian yang sedia ada dalam memastikan semua pelajar yang menduduki SPM akan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada di IPTA mahupun di institusi-institusi kemahiran.

Katanya, kementerian itu melalui Sabah Job Portal akan menyediakan pangkalan data untuk mendaftarkan semua pelajar mengikut kumpulan pedapatan keluarga supaya ianya boleh digunakan bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir.

Menurutnya, dalam pemberian biasiswa pula, kerajaan akan memberi keutamaan kepada kursus yang relevan dengan keperluan industri.

“Kita tidak lagi memberi biasiswa kepada kursus-kursu yang bukan keutamaan industri. Dengan itu, penyelarasan akan dibuat dengan IPTA/S supaya hanya menawarkan kursus yang relevan dengan industri serta mempunyai peluang pekerjaan.

Mengenai program latihan kemahiran dan kerjaya sebegitu, Yusof berkata, sepanjang tahun ini program kerjaya sebegitu berjaya menawarkan 17,000 peluang pekerjaan. Peluang-peluang pekerjaan itu sudah pun diisi oleh pemohon yang memenuhi permintaan industri.

Ditanya tentang Perpustakaan Negeri Sabah di Tanjung Aru, beliau berkata, perpustakaan yang dibina dengan kos RM40juta itu akan mula beroperasi pada Februari 2019.