Kelulusan Pelan Pembangunan Hanya Perlu Enam Bulan – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan memastikan semua pelan pembangunan di negeri ini akan diluluskan dalam tempoh enam bulan.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kelulusan pelan itu dipermudahkan bagi mengurangkan pertemuan secara fizikal antara pemohon dan pegawai bagi mengelakkan perundingan di bawah meja.

Beliau berkata, pegawai terlibat perlu melaksana tugas dengan sebaiknya bagi memastikan hanya pelan pembangunan yang layak sahaja diluluskan.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Duta Khas Perdana Menteri Ke Republik Rakyat China, Datuk Sri Tiong King Sing sempena lawatan kerja bersama Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), di Wisma Innoprise, semalam.

Tujuan kunjungan hormat tersebut adalah bagi meninjau peluang pelaburan oleh pelabur-pelabur dari China dalam sektor-sektor yang berada dibawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan & Perumahan.

Antara peluang-peluang pelaburan yang berada dalam bidang kuasa kementerian tersebut adalah seperti Pengurusan Sisa Pepejal, Pengurusan Sampah dan juga Teknologi Bangunan untuk Perumahan dan Perancangan Bandar agar ianya selaras dengan dasar serta polisi kerajaan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Mansur Asun dan Timbalan Setiausaha Tetap KKTP, Stanley Chong.