Keluarga Wira Negara Terkorban Dalam Ops Daulat Terus Terima Bantuan

220
Marlinah (tiga kiri), Siti Bandorah (empat kanan), Zaini (dua kanan) dan Ribin (kiri) semasa majlis penyerahan sumbangan berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Enam tahun sudah berlalu namun, kehilangan wira-wira negara yang terkorban dalam Ops Daulat di Kampung (Kg) Simunul, Semporna masih sukar untuk dilupakan oleh isteri dan anak-anak yang ditinggalkan.

Marlinah Utan,45, yang merupakan balu kepada Sarjan Salam Togiran berkata, walaupun kehidupan berjalan lancar selama enam tahun ini namun, kesan pemergian arwah suami masih terasa dan kesedihan itu masih bersisa.

“Syukur Alhamdulillah kami sekeluarga dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Namun, tempoh enam tahun belum cukup mengubati rasa sedih kehilangan suami. Anak-anak juga merindukan kehadiran ayah mereka. Mereka perlukan ayah untuk membesarkan mereka.

“Mula-mula saya sendiri merasa sukar untuk meneruskan kehidupan tapi demi anak-anak, saya kena kuat.

“Alhamdulillah sekarang anak-anak pun boleh menerima keadaaan ini jadi, saya kena kuat dan meneruskan kehidupan demi menjaga anak-anak,” katanya ketika berkongsi kehidupannya selepas enam tahun berlakunya Ops Daulat berikutan pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada 2013.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Sumbangan kepada waris Ops Daulat daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini (Rabu).

Marlinah bersyukur kerana sepanjang tempoh enam tahun ini, bantuan dan sumbangan tidak putus-putus diberikan kepadanya. Sumbangan itu banyak membantu mereka anak-beranak meneruskan kehidupan.

“Apa sahaja organisasi dan jabatan yang ingin memberi sumbangan kami ucapkan terima kasih. Sumbangan itu akan dapat membantu saya meneruskan kehidupan bersama anak-anak,” ujarnya.

Marlinah yang berasal dari Tawau ini berkata, sejak menghidap ‘anxiety panic disorder’ beberapa tahun lalu, mereka berpindah ke Kota Kinabalu bagi memudahkannya mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya mudah merasa cemas dan sejak awal tahun ini, gejala mudah cemas ini semakin teruk,” jelasnya.

Turut melahirkan penghargaan terhadap sumbangan diberikan FAMA adalah Siti Bandorah Mahalil,45, iaitu balu kepada Sarjan Mejar Abdul Azis Sarikon.

Beliau berkata, sumbangan itu amat bermakna bagi menampung dan membiayai pelajaran anak-anak.

Katanya, semakin anak-anak membesar, semakin meningkat perbelanjaan persekolahan mereka.

Berkongsi kehidupan mereka anak-beranak selepas enam tahun, Siti Bandorah yang menetap di Batu 2, Semporna ini berkata, semakin lama kehidupan bertambah sukar kerana pemergian arwah suami tidak akan dapat diganti.

“Semakin lama semakin susah sebab dia (suami) tidak akan sambung balik untuk datang kepada kami. Tidak dapat sambung balik untuk menguruskan apa-apa.

“Sebagai ibu tunggal memang susah untuk menjalani kehidupan.

“Apa-apa pun kami mengucapkan terima kasih kepada siapa sahaja yang memberi bantuan. Memang berat untuk mengurus anak-anak yang semakin besar dan semakin tinggi pelajaran, semakin banyak bebanan yang perlu ditanggung,” katanya.

Tambahnya, perbelanjaan harian mereka bergantung sepenuhnya kepada duit pencen dan sumbangan yang diberikan.

Katanya, anak sulungnya bakal mengikut jejak langkah suaminya kerana anaknya itu sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Turut hadir menerima sumbangan FAMA itu adalah Sumiati Suarah.

Sementara itu, Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid berkata, FAMA menyumbangkan sebanyak RM49,084.35 kepada semua keluarga wira-wira negara yang terkorban dalam Ops Daulat 2013.

Beliau berkata, biarpun sumbangan itu agak lewat namun, ia diharap dapat membantu meringankan bebanan keluarga wira negara yang terkorban. Bantuan itu boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka pada tahun depan.

Katanya, sumbangan itu dikutip sejak Mac 2013 namun, disebabkan beberapa masalah teknikal kutipan sumbangan mengambil masa yang lama untuk diserahkan kepada lapan keluarga wira negara yang terkorban.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass.

Dalam Ops Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac 2013, enam anggota polis terbunuh dalam serangan hendap di Kg Simunul, Semporna pada 2 Mac 2013. Dua lagi anggota tentera terbunuh di Kg Tanduo, Lahad Datu.

Selain Salam dan Abdul Azis, enam lagi wira negara yang turut terkorban dalam Ops Daulat itu adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superitendan Michael Anak Padel, Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Asisten Superitendan Zulfikli Mamat dan Sarjan Mejar Sabaruddin Daud.