Keluarga Mangsa Culik Terima Panggilan Tuntut Wang Tebusan

KOTA KINABALU: Dua panggilan telefon diterima oleh seorang daripada keluarga mangsa berhubung kes penculikan tiga nelayan warga Indonesia di kawasan perairan Tambisan, Lahad Datu 23 Sept lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata panggilan berkenaan dilakukan kepada kakak seorang daripada mangsa culik itu pada 30 Sept lepas.

“Kakak mangsa yang menerima panggilan itu kini berada di Sandakan. Pihak suspek telah menuntut sejumlah wang tebusan untuk pembebasan ketiga-tiga mangsa culik berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi 23 Sept lepas, tiga nelayan warga Indonesia, Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan.

Omar berkata polis sedang giat berhubung dengan rakan sejawatan di Filipina dan pihaknya tidak akan melayan sebarang tuntunan oleh kumpulan penculik.

“Kita percaya kini ketiga-tiga mangsa culik berkenaan berada di suatu tempat yang tidak diketahui di Selatan Filipina,” tambahnya.

(Visited 1 times, 1 visits today)