Keluarga Kakitangan BERNAS Terkorban Dalam Kebakaran Terima Sumbangan

MEMBAKUT: Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa kebakaran di Kampung Binsuluk, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) tampil menghulurkan bantuan.

Ketua Jabatan Perhubungan dan Pihak Berkepentingan, BERNAS Sabah Jasnih Daya berharap sumbangan yang disampaikan itu dapat meringankan sedikit bebanan suami mangsa, Othman Ali yang kehilangan isteri dan empat anak dalam kebakaran yang berlaku pada pagi 1 Syawal lalu.

Sumbangan ini disampaikan kepada Othman di Kampung Sungai Damit, Membakut.

Jasnih berkata, bagi pihak seluruh kakitangan BERNAS, mereka amat berdukacita di atas kejadian yang meragut nyawa isteri dan empat anak Othman dan mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

“Sesungguhnya berat mata kami memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam kejadian kebakaran itu, isteri Othman iaitu Aisah Jumat, 58, bersama empat anaknya iaitu Dzulkarnain, 32, Dzulnisham, 27, Rozaini, 26 dan Rosdi, 24 tahun terkorban dalam kejadian kebakaran berkenaan.

Sementara suami mangsa, Othman, 64 dan dua anaknya lagi terselamat dan mengalami cedera ringan.

Jasnih berkata, Aisah telah berkhidmat dengan BERNAS selama 36 tahun, iaitu sejak tahun 1984.

“Kami kehilangan seorang kakitangan yang rajin dan komited dengan tugasnya.Kehilangannya amat dirasai oleh seluruh warga kerja BERNAS di Sabah” ujarnya.

Selain sumbangan wang ringgit, BERNAS turut menyampaikan sumbangan beras dan barang keperluan dapur.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, Yang Dipertua Kelab BERNAS Malaysia Cawangan Sabah, Hervian Kirman.