Keluar Parti: Warisan Teliti Tindakan Undang-Undang Terhadap ADUN Sebatik

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan meneliti tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir yang mengumumkan keluar parti itu dan menjadi ADUN Bebas pada Khamis lepas.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Hassan sebelum ini telah berikrar setia kepada parti sebelum Pilihan Raya Negeri pada September tahun lepas.

“Belum terima (surat berhubung perkara itu) namun ada surat yang beliau tandatangan dan berikrar untuk setia kepada parti di hadapan peguam kita secara sukarela. Ketika beliau keluar, beliau masih ahli Warisan namun kami akan memastikannya dari segi tafsiran perundangan, kita lihat bagaimana nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata Warisan akan mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan seterusnya terhadap Hassan yang telah menandatangani perjanjian untuk setia bersama Parti Warisan di hadapan peguam parti tersebut.

Khamis lepas, Hassan A Gani mengumumkan keluar dari Warisan dan kini menjadi ADUN Bebas selain menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah serta kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.