Kelewatan Kemasukan Penghuni Di PPR Kibabaig Tidak Boleh Diterima – Jannie Lasimbang

PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang menggesa kerajaan memberi penjelasan mengenai kelewatan penyiapan kerja-kerja tambahan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kibabaig.

Beliau berkata, sudah tujuh tahun sejak PPR Kibabaig dengan 755 unit dibina, tetapi hanya dua blok sahaja yang diduduki manakala, enam blok dibiarkan kosong selama bertahun-tahun.

“Oleh itu, projek PPR ini perlu disiapkan segera tanpa perlu memberi alasan kerana rakyat sudah menunggu selama bertahun-tahun untuk menduduki PPR tersebut,” katanya.

Jannie berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan pegawai yang bertanggungjawab dari Majlis Daerah Penampang (MDPg) bagi membincangkan isu berkenaan kelewatan tersebut.

Menurut MDPg, mereka tidak boleh menerapkan tarikh menyerahkan kunci unit-unit PPR kepada semua pemohon yang diluluskan kerana kerja-kerja pembinaan di PPR masih dalam proses penyiapan. Malah, penaiktarafan simpang tiga dari jalan utama pula hanya 80 peratus.

Jannie berkata, projek PPR ini dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) persekutuan dan setelah susulan dibuat, masih belum ada sebarang jawapan diterima mengenai penyerahan kunci.

“Semasa lawatan terakhir saya ke PPR Kibabaig pada Mac lalu, saya dimaklumkan bahawa kontraktor yang dilantik akan menyelesaikan kerja di jalan gabion dan jalan simpang tiga pada bulan Jun. Kemudian, saya diberitahu tarikh siap ditangguhkan lagi sehingga September.

“Namun, pemeriksaan baru-baru ini dengan MDPg mendapati kerja itu mengalami kelewatan lebih lama,” jelasnya.

Jannie, yang juga Ketua Wanita DAP Sabah ini menggesa semua pihak untuk menyelesaikan pemindahan semua unit yang tidak berpenghuni ini.