Kelantan, Pulau Pinang Tidak ‘Mati’ Jadi Pembangkang, Yang Takut ‘Mati’ BN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SEMPORNA: Propaganda Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kononnya rakyat Sabah tidak boleh hidup tanpa Kerajaan Persekutuan hanyalah kempen politik murahan untuk meraih sokongan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, rakyat Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor telah membuktikan bahawa mereka tidak pernah ‘mati’ walaupun berada di pihak pembangkang.

Sebaliknya menurut beliau, yang akan mati ialah BN dan PN sekiranya rakyat Sabah membuat keputusan untuk menolak pemimpin-pemimpin parti itu yang terpalit dengan salah guna kuasa.

“Kelantan sudah membuktikan 40 tahun mereka memerintah, Pulau Pinang berbelas tahun tetapi mereka tidak mati jadi kenapa mereka katakan orang Sabah akan mati tanpa Kuala Lumpur.

“Sebenarnya yang akan mati ialah BN dan UMNO sebab mereka tidak dapat lagi merampas segala harta-harta rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Bersama Rakyat Kampung Simunul pagi ini.

Mohd. Shafie berkata, era Sabah ditadbir oleh pemimpin dari Persekutuan yang menentukan setiap keputusan sudah berakhir selepas pilihan raya umum 2018.

Katanya, kini Sabah memiliki satu kekuatan kerana rakyatnya bersatu hati dan ditadbir oleh pemimpin tempatan yang menjadi pendesak agar setiap hak-hak negeri ini ditunaikan.

Sehubungan itu katanya, beliau memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada meletakkan masa depan negeri ini kepada pemimpin-pemimpin yang kotor dan tidak amanah.

“Saya tidak akan serahkan kuasa ini kepada Musa Aman, buat apa saya tentukan masa depan negeri kepada Kuala Lumpur dan kepada pemimpin-pemimpin yang melompat.

“Daripada saya serahkan kuasa itu kepada mereka, lebih baik saya serahkan hak kembali kepada rakyat untuk menolak sepenuhnya pengkhianat ini dan menyerahkan mandat kepada pemimpin tempatan bukan Kuala Lumpur,” katanya.