Kelab Suri Rumah & Staff Wanita UMS Perlu Aktif Sertai Aktiviti

KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin menyarankan ahli-ahli Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) untuk terus melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti anjuran UMS dan pihak luar.

Saranan tersebut termasuk melibatkan ahli KESUMBA dalam memperkukuhkan kebolehpasaran graduan UMS melalui pengukuhan agenda keusahawanan selari dengan intipati amanat Menteri Pengajian Tinggi bagi tahun 2022.

Katanya, KESUMBA boleh melaksanakan program pembangunan keusahawanan graduan wanita sebagaimana pelaksanaan program Women Enterpreneurship atau WE Innovate di Imperial College, London.

“Sebagai Penasihat kelab ini, saya akan terus memberi sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi. Saya berharap agar KESUMBA akan bergerak maju ke hadapan sejajar dengan moto KESUMBA iaitu ‘Maju Sehati yang bermaksud usaha sehati menuju ke arah kemajuan.

“Sentiasalah bersatu hati, mencapai persefahaman yang baik sesama ahli, bekerjasama, sayang-menyayang dan memelihara kesejahteraan sesama ahli.

“Saya juga berharap agar KESUMBA akan sentiasa berusaha membantu memperkasakan ahli dan kaum wanita di UMS serta meningkatkan imej demi menjaga nama baik UMS,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) KESUMBA kali ke-25 di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS, baru-baru ini.

Selain itu, Taufiq juga menyarankan agar KESUMBA menjadikan sambutan Hari Wanita sebagai aktiviti tahunan bagi menghargai peranan wanita khususnya kakitangan wanita di UMS.

Sementara itu, Yang Dipertua KESUMBA, Dr. Amalina Abdullah berkata sepanjang tahun lalu, KESUMBA telah berjaya melaksanakan sebanyak 50 aktiviti.

Aktiviti yang dijalankan merangkumi aspek kesihatan mental dan fizikal, kerohanian, pengurusan kewangan, pengurusan keluarga, integriti, program kebajikan dan kemasyarakatan serta jalinan mesra di antara KESUMBA dan persatuan Wanita Universiti Awam.

“KESUMBA juga telah mewujudkan Anjung Infak RAHMAH UMS (Food Bank dan Free Market) yang terletak di Pusat Islam. Pewujudan anjung ini adalah dengan kerjasama Pusat Islam UMS,” tambahnya.

Pada MAT tahun ini, KESUMBA telah menerima tambahan seramai 66 orang ahli baharu, menjadikan jumlah terkini ahli seramai 578 orang.

Pencarian ahli baharu kelab tersebut dijalankan melalui program ‘Cabaran Mencari Ahli Baharu KESUMBA’ yang dilaksanakan bermula bulan April sehingga 30 Jun 2022.

Turut hadir Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.