Kelab Malam, Pub Sekitar KK Diserbu Imigresen, 62 PATI Ditahan

Mohd. Azis memeriksa dokumen sebahagian PATI yang ditahan.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah meneruskan operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di negeri ini dalam usaha membanteras golongan itu untuk diusir pulang ke negara asal.

Dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 10 malam tadi, seramai 62 PATI berjaya ditahan di dua lokasi serbuan iaitu kawasan perniagaan Water Front Anjung Samuder Kota Kinabalu dan penempatan Kampung Numbak, Sepanggar.

Operasi tersebut turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman dan Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin.

Mohd. Azis berbual mesra dengan pelancong dari Korea Selatan ketika melakukan operasi memburu PATI di sebuah kelab malam.

Mohd. Azis berkata, PATI yang ditahan termasuk golongan yang melanggar syarat pas lawatan sosial masing-masing apabila tinggal lebih masa di Sabah dan PATI yang masuk ke negeri ini secara haram melalui lorong-lorong tikus.

“Di antara kesalahan sebagaimana tadi saya sebut mereka melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah dan juga Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas lawatan mereka.

“Peraturan 39(b) iaitu Peraturan-Peraturan imigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas yang diberikan kepada mereka,” kata Mohd. Azis dalam sidang akhbar semasa operasi tersebut.

Pegawai Jabatan Imigresen memeriksa dokumen individu yang ditahan di sebuah kelab malam.

Mohd. Azis berkata, turut ditahan adalah beberapa warga China yang telah tinggal melebihi tempoh waktu di negeri ini untuk mencari pekerjaan.

Sementara itu katanya, bagi PATI yang didapati masuk ke negeri ini melalui lorong-lorong tikus, JIM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan menutup laluan berkenaan serta menyiasat dalang yang bekerjasama dengan PATI.

Katanya, wujud dalang yang bekerjasama dengan PATI untuk membantu mereka masuk ke negeri ini, justeru amaran diberikan bahawa pihak berkuasa akan memburu golongan tersebut untuk dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman berat.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah memeriksa dokumen suspek PATI yang ditahan malam tadi.

“Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah adalah 1,700 kilometer satu kawasan yang luas maka banyaklah lorong tikus yang kita tidak ketahui ditambah lagi mungkin ada yang membantu mereka dari dalam dan inilah di antara kekangan dan masalah yang kita hadapi.

“Ini dari dulu lagi sebenarnya pihak special branch kita pihak PDRM, Jabatan Imigresen tahu tentang kewujudan lorong-orong tikus ini tetapi oleh kerana kawasan perairan kita yang terlalu luas menyukarkan kita ditambah lagi dengan ada dalang-dalang yang membantu orang-orang ini, maka dengan itu saya ingin memberi amaran kepada dalang-dalang ini kita akan memburu mereka dan mana-mana yang kita dapati telah memberikan kerjasama kepada orang-orang ini kita akan ambil tindakan seberat-beratnya mengikut lunas undang-undang yang ada,” tambah beliau.

Tambahnya, tahun ini, JIM Sabah mensasarkan menangkap sekurang-kurangnya 7,000 PATI untuk dihantar pulang manakala sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,199 operasi telah dijalankan membabitkan 4,180 tangkapan dan 28,555 individu telah diperiksa.

Jelas beliau, seramai 23 majikan juga telah ditahan manakala secara keseluruhan seramai 12,230 PATI telah diusir ke negara asal mereka tahun lalu.