Kelab 4×4 Kalabakan Tempuh Cabaran Baharu Libatkan Misi Kebajikan

KALABAKAN: Bagi penggemar aktiviti lasak melibatkan kenderaan pacuan empat roda, acara Cabaran Offroad Antarabangsa Borneo Safari di Kota Kinabalu memang sentiasa ditunggu-tunggu saban tahun.

Namun, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah susulan pandemik COVID-19 ketika ini, program yang sepatutnya diadakan Oktober lepas, terpaksa ditangguhkan bagi mengelak penularan virus berkenaan.

Bagaimanapun bagi Kelab 4X4 Kalabakan, untuk ‘melengkapkan’ aktiviti tahunan tanpa Borneo Safari, selain atas rasa prihatin untuk membantu penduduk yang terkesan akibat pandemik itu, kelab itu mengambil inisiatif menggerakkan misi kebajikan, termasuk menghantar bantuan makanan ke kawasan pedalaman.

Penasihat kelab, Nasir Bacho berkata inisiatif itu juga diambil bagi membantu Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Malaysia cawangan Kalabakan untuk menghantar lebih 800 bakul makanan kepada penduduk terjejas ekoran COVID-19.

“Misi kita bantu hantar bakul makanan ke kampung-kampung sekitar Kalabakan dekat sini termasuk ke Kampung Serudong yang menampilkan cabaran-cabaran seperti keadaan jalannya yang tidak rata, kawasan hutan, dan sukar dilalui kenderaan ringan.

“Kelab 4×4 Kalabakan sedia membantu jika diperlukan dan kita lakukan secara sukarela,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Nasir berkata misi kebajikan itu semestinya memberi kepuasan berganda kepada ahli Kelab 4×4 Kalabakan kerana di samping dapat membantu orang ramai, mereka boleh melayan ‘ketagihan’ merempuh laluan yang lasak.

Beliau yang berpengalaman 10 tahun menyertai Borneo Safari, berhasrat mahu mewujudkan aktiviti cabaran sama di Kalabakan sebagai antara usaha mempromosi daerah itu sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Selepas COVID-19, kita rancang mahu buat acara di Kalabakan, kerana dekat sini ada laluan ‘offroad’ yang boleh digunakan. Sebelum ini kita pernah buat di Pasir Putih di Tawau dan ia berjaya dan disertai penggemar aktiviti kenderaan lasak dari Brunei, Indonesia, Labuan dan Sarawak,” katanya.

Kelab 4×4 Kalabakan yang ditubuhkan pada 2018 kini disertai 60 ahli dengan 35 kenderaan lasak yang diubah suai.

Setakat semalam, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah merekodkan sebanyak 27,679 kes.