Kekurangan Keanggotaan Polis Di Sabah Tidak Kritikal, Zaini

438
Zaini bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (kiri) semasa sidang media berkenaan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kekurangan dari segi keanggotaan polis di seluruh negeri ini tidak dilihat kritikal sehingga mampu menjejaskan perkhidmatan polis di peringkat daerah yang terlibat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, berdasarkan keperluan perjawatan semasa, kekurangan keanggotaan yang berlaku hanya sekitar sembilan peratus.

”Kekurangan dalam perjawatan ini bukan kritikal kerana hanya sembilan peratus tetapi, itu bukan alasan untuk Pejabat Polis Daerah tidak melaksanakan tugas dengan baik.

Zaini memeriksa Kawalan Kehormat sempena Lawatan Kerja ke IPD Kota Kinabalu

”Bagaimanapun, saya akan mencari jalan terbaik untuk menangani masalah kekurangan anggota dan logistik ini agar ianya tidak menjejaskan penugasan anggota di peringkat daerah,” katanya dalam sidang media sempena Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, selain isu kekurangan keanggotaan, polis di Sabah juga berdepan dengan masalah kekurangan kemudahan di pejabat, kemudahan perumahan dan beberapa kemudahan infrastruktur lain.

Untuk masalah kemudahan infrastruktur ini, Ketua Polis Daerah akan menyenaraikan keperluan mereka dan memohon peruntukan perbelanjaan daripada pihak atasan.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, sejak memulakan penugasan pada November tahun lalu, beliau sudah melawat lima daripada 20 IPD di seluruh Sabah.

”Menerusi lawatan yang telah diadakan, saya mendapati Pondok Polis Kundasang berada dalam keperluan mendesak (dinaiktaraf). Pondok polis itu hanya berada dalam satu kabin yang terletak bersebelahan dengan Dewan Majlis Daerah.

”Dalam masa yang sama, kita juga telah memulakan usaha mengenalpasti keperluan mewujudkan balai dan pondok polis baharu dalam memastikan perkhidmatan terbaik mampu diberikan kepada rakyat,” jelasnya.

Selain IPD Kota Kinabalu, IPD lain yang telah dilawati adalah IPD Keningau, Tenom, Kunak, Ranau.

Menurutnya, dalam lawatan kerja yang diadakan itu, beliau mahupun Pesuruhjaya Polis Sabah dapat mendengar sendiri masalah dan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah.

Pada lawatan kali ini, beliau turut menyatakan harapan dan nasihat kepada anggota IPD dalam memastikan kelancaran penugasan dan pelaksanaan aktiviti kepolisan.