Kekayaan Sumber Asli Resepi Bangunkan Sabah – Shafie Apdal

Shafie (kiri) meletakkan tapak tangan sebagai simbolik pelancaran Program Sipitang Baharu-Bersih & Indah, turut kelihatan isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib, Menteri Pelajaran & Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob (empat kiri) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (lima kiri).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SIPITANG: Kekayaan sumber asli dan alam semula jadi yang terdapat di Sabah dilihat sebagai resepi penting yang boleh membawa pembangunan dan kemasukan lebih banyak pelaburan ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah mempunyai sumber asli yang cukup banyak dan tidak boleh didapati ditempat lain di negara ini.

”Kerajaan dalam perancangan untuk membangunkan terminal makanan, industri minyak dan gas, pembuatan perabot dan industri gelas.

”Untuk membangunkan industri yang pelbagai itu, kerjasama dan kesepaduan daripada semua pihak amat diperlukan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Program Sipitang Baharu-Bersih & Indah, di Esplanade Sipitang, di sini pada Sabtu.

SHAFIE APDAL

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga mahu agar pembangunan seimbang dapat dilaksanakan di semua daerah di Sabah agar masyarakat di semua lapisan masyarakat dapat menikmati hasil daripada kekayaan sumber asli yang dimiliki di Sabah.

Pembangunan seimbang dengan mewujudkan industri di setiap daerah perlu dilakukan bagi mengelakkan golongan belia tempatan berhijrah ke Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk mendapatkan pekerjaan.

Mohd Shafie berkata, sekiranya semua pihak bekerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan di Sabah, negeri ini boleh membangun dan menjadi negeri termaju di Malaysia dan di rantau ini.

Ketibaan Mohd Shafie disambut oleh pemimpin dan masyarakat Sipitang.

Mengenai kebergantungan terhadap kayu balak, pemikiran mendapatkan sumber kekayaan melalui hasil balak sudah berlalu dan perlu dihentikan.

”Apa yang penting sekarang adalah untuk kita membangunkan Sabah dengan menarik lebih banyak pelaburan dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan perabot.

”Kita mahu membangunkan Sabah tanpa bergantung kepada balak. Ada cara lain lagi untuk mendapatkan hasil dan bukannya bergantung semata-mata kepada balak. Negara seperti Brunei Darussalam dan Singapura juga tiada balak namun, negara mereka boleh maju,” jelasnya.

Bagaimanapun, dalam memajukan Sabah, perkara paling penting adalah penyatuan rakyat. Sekiranya penyatuan itu dapat dijayakan, Sabah boleh maju jauh ke hadapan.