Kejohanan Sukan Pupuk Gaya Hidup Sihat-Rakam

156
Rakam (bertopi di belakang sekali) bersama para pemain dan ajk penganjur.

TUARAN: Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Rakam Sijim memuji usaha para belia Kg Tembiluk, Tuaran dalam penganjuran pertandingan sukan sepak takraw sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Usaha ini secara tidak langsung menggalakkan penduduk kampung khususnya para belia menerapkan budaya hidup sihat, cergas dan aktif, katanya.

Tambahan pula masyarakat kini berdepan dengan pelbagai jenis penyakit akibat gaya hidup tidak aktif, kurang bersenam, pemakanan tidak sihat serta pelbagai tekanan hidup.

“Program ini boleh menimbulkan kesedaran pen­tingnya menjaga kesihatan serta sentiasa aktif dan beriadah,” kata Rakam semasa ucapan perasmian kejohanan tersebut.

Di samping itu, acara sukan juga dapat memupuk persefahaman serta mengeratkan hubungan di kalangan penduduk kampung, sambungnya.

Rakam juga mengingatkan para belia agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat.

Para belia haruslah sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang dapat membentuk masa depan mereka, tambahnya.

Rakam (depan memegang bola takraw) bersama para pemain dan ajk penganjur.

Rakam juga menyeru agar para belia sentiasa peka dengan program kerajaan yang menjurus kepada pembangunan belia dan mengambil peluang terhadap program yang dapat membangunkan taraf hidup mereka.

Sementara itu Abdul Madu, Pengerusi Penganjur Kejohanan memberitahu pertandingan berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu remaja dan dewasa.

Kejohanan tersebut telah disertai oleh 6 pasukan remaja dan 10 pasukan dewasa dari beberapa kampung yang berdekatan antara lain Kg Tembiluk, Kg Buansa, Kg Soang Kerumaan, Kg Pensurun dan Kg Gerinsing.

Penasihat Kumpulan Belia Kg Tembiluk Addy Syah berkata di masa hadapan mereka akan menganjurkan kejohanan jenis sukan lain seperti bolasepak dan bola tampar.

Addy Syah juga berharap pihak kerajaan dapat memberi lebih sokongan kepada usaha penganjuran kejohanan sukan di kalangan masyarakat setempat dengan penyediaan kemudahan yang perlu.