Kejohanan B-MAEX Kembali Ke Labuan Disember

47

LABUAN: Kejohanan antarabangsa Borneo Martial Arts Expo 2019 (B-MAEX) di Labuan kembali untuk edisi keduanya di Palm Beach Resort and Spa di sini pada 13-15 Disember ini.

Anjuran bersama Persatuan Sukan Kickboxing Labuan (LSKA), Persatuan Wushu Labuan Wushu dan Borneo Combat Gym (BCG) dengan kerjasama Persatuan Penggiat Media Labuan; acara kejohanan itu ditauliahkan oleh International Sport Kickboxing Association Borneo (ISKA Borneo).

B-MAEX disasar menyediakan ruang dan peluang kepada pengamal seni bela diri serta atlet sukan tempur untuk bertanding dalam persekitaran yang positif di platform kebangsaan dan antarabangsa, di samping memupuk dan menjunjung nilai-nilai murni dalam seni mempertahankan diri.

Pengasas B-MAEX Alvin Chong menegaskan B-MAEX turut berhasrat membantu usaha mempromosi Labuan sebagai destinasi pelancongan sukan di peringkat antarabangsa.

“B-MAEX 2019 adalah platform bagi pengamal seni bela diri dari semua wilayah, dan ia kini berkembang ke peringkat lebih luas lagi, apabila buat pertama kali atlet orang kurang upaya (OKU) akan mengambil bahagian.

“Sekurang-kurangnya 500 peserta dari pelbagai sabang seni bela diri terlibat dalam kejohanan ini dan mereka yang masih dalam bidang seni bela diri dijemput untuk turut serta nanti,” kata beliau yang juga pengerusi penganjur dalam persidangan media baru-baru ini.

Alvin berkata B-MAEX 2019 akan menampilkan acara-acara sukan tempur dari pelbagai cabang seni bela diri, termasuk kickboxing (K1) bagi kategori profesional serta amatur dan juga tempur bersenjata.

Antara acara yang menarik perhatian nanti termasuk lapan hingga 10 pertarungan merebut kejuaraan, dan juga penampilan campuran muka-muka baru dan lama.

Ada tiga kategori kejuaraan amatur Malaysia, kejuaraan profesional Borneo dan tumpuan utama pastinya Kejohanan merebut kejuaraan Asia Tenggara ISKA, dengan para peserta termasuk kalangan pengamal seni bela diri dari negara Brunei, Filipina, China, Indonesia, Mongolia, Australia, Jepun, Iran dan India.