Kehadiran Musa Sebagai Tanggungjawab Selaku Wakil Rakyat

908

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal menyifatkan kehadiran satu-satunya wakil tunggal Umno, Tan Sri Musa Aman dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini sebagai tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

“Itu tanggungjawabnya…dia mahu hadir, hadirlah,” kata Mohd Shafie ringkas apabila diminta mengulas mengenai kemunculan pertama Musa dalam Persidangan DUN Sabah sejak mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat pada 5 September tahun lalu.

Musa, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga itu turut mengambil bahagian bertanyakan soalan tambahan dalam sesi soal-jawab ketika Shafie selaku Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony membentangkan jawapan lisan mereka.

Musa adalah satu-satunya wakil Umno yang tinggal di Sabah apabila semua rakan seperjuangannya keluar dari Umno pada 12 Disember lalu dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebelum ini Musa gagal menghadiri dua sesi persidangan DUN yang diadakan pada tahun lalu.

Dalam Artikel 18 (2) Perlembagaan Sabah,pihak DUN boleh mengisytiharkan mana-mana kerusi sebagai kosong sekiranya wakil rakyat yang dipilih gagal hadir bagi tiga sesi berturut-turut tanpa alasan kukuh.

Pada ketika ini, kedudukan kerusi DUN Sabah memperlihatkan parti pimpinan kerajaan yang diketuai Warisan memiliki 32 kerusi dan diikuti Pakatan Harapan yang melibatkan BERSATU (9), DAP (6) dan PKR (3) serta Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dengan lima kerusi.

Bagi pembangkang pula, Gabungan Bersatu Sabah (GBS) iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) mempunyai lima kerusi dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan tiga kerusi. Sementara Umno mempunyai satu kerusi.