Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata dalam operasi kira-kira jam 5.20 petang itu, pasukan serbuan menyita sebanyak 17,195 liter minyak diesel di dalam lori tangki, tangki skid dan tong drum.
Turut disita, peralatan yang disyaki digunakan untuk menyeleweng barangan kawalan itu seperti sebuah lori tangki minyak, pam elektronik dan paip dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM93,660.25.
Menurut Georgie, risikan telah dijalankan selama tiga hari oleh KPDN Sabah sebelum
serbuan dijalankan.
“Seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik stor di lokasi serbuan turut
ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Berdasarkan keterangan awal daripada pemilik stor, barang kawalan terbabit diperoleh daripada pembekal diesel industri yang sah.
“Walau bagaimanapun pemilik stor gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi
RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM5 juta.
Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.
Georgie berkata KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan
secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan yang menyebabkan ketirisan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti yang melanggar undang-undang negara diminta menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran seperti berikut.
Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000; Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800 dan Pusat Arahan Penguat kuasaan (Enforcement Command Centre) : 03 – 8882 6088 / 6245 atau saluran lain yang telah disediakan.