Kegiatan Penyelewengan Diesel Bersubsidi, Ditumpaskan Di Tuaran

TUARAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tuaran menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di kampung Lok Batik, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Daerah, Saripuddin Moleng berkata kejayaan ini adalah hasil risikan selama seminggu oleh KPDN Cawangan Tuaran sebelum serbuan dilakukan.

Katanya, serbuan pada jam 10.30 pagi itu menemukan sebanyak 29,000 liter minyak diesel dalam tangki skid, empat buah tangki skid beserta pam elektronik yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM107,000.00.

Saripuddin berkata 2 lelaki rakyat tempatan yang dipercayai pekerja stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Berdasarkan keterangan awal daripada pekerja stor di lokasi kejadian, barang kawalan terbabit diperoleh daripada pembekal diesel industri yang sah.

“Walau bagaimanapun kedua-dua pekerja tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saripuddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya denda tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Cawangan Tuaran agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barangan kawalan berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:

1) Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000;

2) Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my;

3) Call Centre 1-800-886-800;

4) Emel: [email protected];

5) Ez ADU KPDNHEP;

6) Hadir sendiri ke Pejabat KPDNHEP yang berdekatan;