Kedudukan Warisan Diperkukuh Sebagai Tulang Belakang Kerajaan Sabah

263

PAPAR: Kemasukan 3,000 ahli Umno Papar ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memperkukuhkan lagi kedudukan Warisan sebagai parti yang menjadi tulang belakang Kerajaan Sabah.

Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kemasukan bekas ketua-ketua Umno cawangan Papar itu akan membolehkan kekuatan parti ini terus bertambah.

Namun, apa yang penting adalah hala tuju perjuangan parti dan ahli-ahli parti jelas iaitu untuk memperjuangkan hak-hak rakyat di peringkat akar umbi.

“Parti ini punya perjuangan yang cukup baik tetapi kadang-kadang boleh dicemarkan dengan nilai-niali dan tindak tanduk ahli-ahli parti. Namun, parti ini juga boleh jadi kuat disebabkan tindak tanduk ahli-ahli yang mempunyai nilai baik untuk memperkuatkan perjuangan parti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Penyerahan Borang Keahlian Parti Warisan Sabah, di Kampung Biau, di sini pada Khamis.

Menurutnya, dakwaan menyatakan hala tuju parti itu tidak jelas seharusnya tidak timbul kerana parti ini baru memerintah selama hampir dua tahun. Maka, berikan Warisan masa untuk membuktikan keupayaan parti ini dalam membangunkan Sabah.

Katanya, kerjasama dalam parti penting dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dijayakan.

Mohd Shafie berkata, kemasukan bekas Naib Ketua Bahagian Umno itu bukan hanya akan memperkuatkan perjuangan Warisan di Papar malah, turut memperkukuh kerjasama bersama komponen Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di Sabah.

“Kekuatan parti bergantung kepada sokongan ahli-ahli parti.

“Di dunia ini banyak parti yang gagal sebab tingkah laku dan budaya pimpinan yang lebih memperbanyakkan duit sendiri dan biarkan rakyat terus miskin. Jadi, itu harus menjadi peringatan untuk kita berkhidmat kepada rakyat dengan sebaiknya. Yakinlah perjuangan parti ini adalah untuk rakyat Sabah” jelasnya.

Dalam majlis itu, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Papar Datuk Juil Nuantim mengetuai bekas-bekas ahli Umno dan ahli parti komponen Barisan Nasional Sabah menyerahkan borang penyertaan keahlian ke dalam Warisan.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony, Menteri Pelajaran dan Inovasi merangkap Ketua Bahagian Warisan Sipitang Datuk Dr Yusof Yacob, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap Ahli Majlis Tertinggi Datuk Aidi Moktar, Ahli Parlimen Papar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Ahmad Hassan serta Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua.
.