Kedai Nombor Ramalan, Kelab Lumba Kuda Dibenar Operasi

KOTA KINABALU: Kedai nombor ramalan dan kelab lumba kuda dibenarkan beroperasi di Sabah bermula esok (14 Sept).

Kebenaran itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (Covid-19).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kebenaran itu selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk membenarkan operator perjudian yang dilesenkan oleh MOF dan Kelab Lumba Kuda di bawah Lembaga Totalisator Malaysia untuk beroperasi mulai 15 September.

Bagaimanapun, semua pekerja dan pelanggan untuk aktiviti ini mesti sudah lengkap suntukan vaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Hari ini, kes positif Covid-19 di Sabah masih menunjukkan penurunan kepada 1,649 kes dengan 39 kematian dan satu kluster baharu iaitu kluster Ladang Desa Jerocco 2, Kinabatangan.

Kluster di tempat kerja di ladang sawit ini membabitkan penyelia ladang warga Indonesia, 39, yang disahkan positif Covid-19 kerana bergejala sejak 1 September.

Setakat hari ini, 55 kes positif direkodkan dan semuanya adalah kes baharu yang dilaporkan. Siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan.

Berdasarkan 1,649 kes positif hari ini, saringan kontak rapat menyumbang 932 kes atau 56.5 peratus, saringan bergejala 481 kes, saringan kluster 74 kes dan saringan lain-lain 162 kes.

Daripada (1,649) kes yang berdaftar hari ini, 508 kes atau 30.8 peratus adalah pesakit dalam kategori 1, 1,061 kes atau 64.3 peratus dalam Kategori 2 dan 28 kes bagi kategori 3-5 manakala, 52 kes masih dalam siasatan.

Hari ini Kota Kinabalu kembali merekodkan kes tertinggi dengan 314 kes, diikuti Penampang 165 kes dan Tuaran 143 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 di Sabah menjadi 175,512 kes dan jumlah kumulatif kes sembuh 148,248 orang.