Kecewa Hari Guru Umpama Majlis ‘Bebas Pelitup Muka’

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Seorang ibu yang hadir di majlis Hari Guru Peringkat Negeri Sabah hari ini menyuarakan rasa kecewa terhadap beberapa pendidik dan pegawai pendidikan yang kelihatan mengabaikan langkah-langkah pencegahan penularan Covid-19.

Menganggapnya sebagai ‘majlis bebas pelitup muka’ katanya, ramai hadirin termasuk guru-guru tidak menutup muka sepanjang majlis diadakan di dalam dewan berhawa dingin di sebuah hotel yang dihadiri kira-kira 200 orang.

“Sedih melihat mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pegawai pendidikan, yang diberi kepercayaan oleh ibu bapa untuk mengurus anak-anak semasa sesi persekolahan. Mereka menekankan mengenai SOP tetapi tidak pula menunjukkan contoh yang baik. Saya semakin takut menghantar anak-anak saya ke sekolah, ” katanya.

Majlis itu yang menampilkan Setiausaha Persekutuan Negeri, Datuk Samsuni Mohd. Noor sebagai tetamu kehormat itu turut menyaksikan kumpulan koir seramai 30 orang yang berdiri kurang daripada jarak satu meter seperti yang disyorka dan ada yang tiada pelitup muka.

Walaupun ramai yang menuruti jarak sosial, sekurang-kurangnya 30 orang yang naik ke pentas untuk mendapatkan hadiah, tidak menggunakan pelitup muka.

Menurut ibu prihatin itu, walaupun kebenaran mengadakan perhimpunan sekarang lebih santai, orang ramai berulang-kali diingatkan mengenai pentingnya memakai pelitup muka, tindakan yang dikatakan oleh pakar kesihatan dapat mengurangkan penularan virus Covid-19 sebanyak 50 peratus.

Samsuni dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Dr Mistirine Radin bercakap mengenai SOP ketika sidang akhbar, tetapi mereka tidak pula bersusah payah untuk menutup muka sepanjang majlis diadakan, tambah ibu berkenaan.

“Sememangnya ada cabaran ketika menjayakan majlis ini karena kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baru. Kita masih perlu melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga akhir bulan Ogos,” katanya.

Menurutnya, perkembangan positif di Malaysia membolehkan sekolah akan dibuka semula sepenuhnya dan universiti akan memulakan semula sesi kuliah secara berperingkat.

“Kita doakan semoga sambutan hari guru tahun depan lebih meriah,” katanya.

Sementara itu, Mistirine memberitahu mengenai beberapa pendekatan sedang dipersiapkan oleh jabatan dan pihak berkuasa lain untuk membuka semula sekolah sebagai usaha mengelak Covid-19 dan pada masa yang sama memastikan persekitaran pembelajaran masih kondusif.

Katanya, selain memberikan panduan dan taklimat mengenai susunan meja dan tanda jarak sosial, sekolah juga boleh memilih satu daripada tiga pendekatan atau modul ketika sekolah berjalan.

“Untuk modul pertama, sesi mengajar dan belajar dijalankan untuk satu sesi sahaja, tetapi masa kelas akan dilanjutkan. Sekolah yang memilih modul kedua dapat melakukan dua sesi (pagi dan petang) supaya jumlah pelajar dalam kelas dikurangkan (untuk tujuan penjarakan sosial).

“Modul ketiga adalah untuk bilik darjah yang melibatkan jumlah besar pelajar. Dengan modul ini, pelajar boleh memilih untuk datang ke sekolah secara bergilir,” katanya.

Menurutnya, jabatan itu dalam peringkat membimbing sekolah-sekolah supaya mereka dapat memilih modul yang paling sesuai untuk dilaksanakan masing-masing.

Dengan semua pendekatan pencegahan itu, keengganan mereka untuk memakai pelitup muka akan memberi kesan kepada orang ramai, terutama ibu bapa yang ada anak bersekolah apabila pihak berkuasa sendiri tidak memandang serius wabak itu.