Kebolehpasaran Graduan FKI UMS Melonjak Kepada 94 Peratus

LABUAN: Peningkatan statistik dan trend kebolehpasaran graduan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melonjak naik kepada 94 peratus pada tahun lalu.

Dekan FKI, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berkata, ia satu peningkatan yang ketara berbanding tiga tahun sebelumnya iaitu kebolehpasaran graduan hanya 65 peratus.

“Maklumat yang dibekalkan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) ini sekali gus membuktikan graduan FKI adalah relevan dalam pasaran kerja masa kini.

“Fakta ini juga menunjukkan bahawa peluang pekerjaan bagi aliran Sains Komputer dan Teknologi Maklumat telah bertambah seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Fakulti Komputeran dan Informatik, UMS sesi 2021/2022, di sini, baru-baru ini.

Program secara dalam talian itu dihadiri 375 pelajar baharu FKI.

Menurut Hanafi, pensyarah FKI sentiasa beriltizam untuk meningkatkan kemahiran diri pelajar dalam pelbagai aspek.

“Ini termasuklah penguasaan teknik komunikasi berkesan; pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, kerja berpasukan; moral dan etika profesional; dan keusahawanan.

“Para pelajar juga diberi pendedahan aspek kepimpinan dan budaya pembelajaran berterusan, dalam konteks persekitaran serta aspirasi pembangunan masyarakat dan negara,” ujarnya.

Hanafi turut menyampaikan pesanan agar para pelajar kekal meningkatkan disiplin diri, sentiasa bersiap sedia, menepati masa dan menumpukan sepenuh perhatian sepanjang sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan.

“Semua pelajar perlu berpegang kepada adab ketika menimba ilmu terutamanya pada ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19, yang mana pembelajaran atas talian adalah kaedah utama yang digunakan.

“Kita yang mencari ilmu, bukan ilmu yang mencari kita. Pelajar yang mencari guru, bukan guru yang mencari pelajar,” katanya.

Hadir sama pada MSM itu Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FKI, Prof Madya Dr. Chin Kim On; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Industri, Prof Dr Jason Teo Tze Wi; Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Anatarabangsa, Dr. Muzzafar Hamzah dan Timbalan Pendaftar FKI, Molly Donna Awang Sham.

Untuk rekod, kesemua pelajar baharu FKI terdiri daripada 88 pelajar program Kejuruteraan Perisian, 85 Kejuruteraan Rangkaian, 73 Teknologi Multimedia, 47 Komputeran Perniagaan dan 82 pelajar bagi program Sains Data.