Keberkesanan PKP Dilihat Lepas 10 Hari – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah dijangka hanya dapat dilihat selepas tempoh inkubasi 10 hari.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hari ini baru masuk hari kelapan pelaksanaan PKP di negeri ini jadi, masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan pelaksanaan PKP.

“Tempoh inkubasi adalah 10 hari maksudnya, keberkesanan PKP hanya dapat dilihat selepas hari yang ke-10 bagi melihat kes baharu.

“Apa yang kita lihat sekarang adalah kes jangkitan yang berlaku sebelum PKP dilaksana. Dengan mengandaikan gejala dapat dilihat dalam masa 10 hari.

“Selepas tempoh inkubasi ini barulah kita dapat melihat keberkesanan PKP. Gambaran kes sebenar dijangka akan dilihat dalam tempoh dua minggu ini,” katanya bagi mengulas mengenai keberkesanan PKP dalam membendung penularan Covid-19 di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak hakikat bahawa peningkatan kes yang sedang berlaku ini disebabkan kelekaan masyarakat dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, apa yang berlaku semasa sambutan Tahun Baharu memperlihatkan keadaan semasa dimana peningkatan kes berlaku akibat kelekaan mematuhi SOP.

Namun, peningkatan kes ketika ini turut disumbangkan oleh saringan besar-besaran di ladang-ladang kelapa sawit yang dilakukan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pantai Timur Sabah.

Tambahnya, adalah menjadi harapan kerajaan agar pelaksanaan PKP di seluruh negeri ini akan dapat membantu melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di Sabah.

Oleh ittu, kerajaan negeri bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan sentiasa mengingatkan seluruh masyarakat untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam tempoh PKP dalam usaha untuk mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.