Kebenaran Rentas Negeri Di Sabah Diketahui Rabu ini

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memutuskan mengenai kebenaran rentas negeri Rabu ini selepas mesyuarat Kabinet negeri

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, keputusan itu akan ditetapkan berdasarkan pertimbangan Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 Negeri Sabah.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan mengemukakan cadangan dan perakuan kepada Jemaah Menteri yang bersidang pada Rabu ini untuk dipertimbangkan.

“Kita mengambil kira peratusan penduduk dewasa di Sabah yang lengkap divaksin belum mencapai kadar 90 peratus, iaitu prasyarat ditetapkan oleh kerajaan persekutuan untuk membolehkan rentas negeri.

“Ketika ini, kadar vaksinasi penduduk dewasa yang lengkap divaskin hanya sekitar 65 peratus sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini pergerakan di Sabah masih tertakluk kepada sistem zon dan kawalan rentas daerah di luar kawasan zon masih berkuat kuasa.

Jika dilihat kadar vaksinasi penduduk dewasa yang lengkap divaksin setakat semalam hanya seramai 1.89 juta orang atau 68.7 peratus.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan kerajaan membenarkan Keluarga Malaysia yang sudah lengkap divaksin untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok.

Ini bermakna bermula esok pergerakan boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dengan itu, Keluara Malaysia dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan ke mana-mana negeri, selain bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang sudah lama berpisah dan sebagainya.