Kebakaran: Tujuh Rumah Termasuk Rumah Panjang Musnah

NABAWAN: Tujuh kediaman termasuk sebuah rumah panjang musnah dalam kebakaran di Kampung Salong di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook Razlan Aridy berkata kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurutnya bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.50 petang semalam.

Katanya sepasukan 3 pegawai dan dari BBP Sook digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba terpaksa melalui perjalanan sejauh 90 kilometer selain perlu menaiki bot untuk sampai ke lokasi.

“Kejadian membabitkan tujuh buah rumah jenis kekal iaitu dua daripadanya berukuran 20 x 20 kaki persegi, empat yang lain seluas 20 x 30 kaki persegi manakala sebuah rumah panjang seluas 87 x 47 kaki persegi musnah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Menurutnya sebaik membuat pengesahan kebakaran dan memastikan tiada unsur bahaya lain di lokasi, pihaknya menamatkan operasi pada jam 10.04 malam.