Kebakaran Setinggan di Lahad Datu, Warga Emas Rentung

LAHAD DATU : Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun, maut dalam kebakaran yang memusnahkan 10 rumah setinggan di Kampung Puyut, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.34 pagi.

Sepasukan 20 pegawai dan anggota bersama jentera pemadam api dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 2 kilometer dari balai.

“Kebakaran melibatkan 10 buah rumah setinggan jenis tidak kekal di kawasan perkampungan yang berkeluasan kira-kira 1,393 meter persegi.

“Kebakaran turut melibatkan 4 buah kenderaan yang terbakar 100%.

“Operasi pemadaman menggunakan 2 aliran 2 pancutan 300 kaki menggunakan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa ditemui rentung oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi pemadaman di satu daripada rumah di lokasi kejadian.

“Mangsa adalah seorang pemastautin tetap dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kebakaran dapat dikawal jam 5.41 pagi manakala operasi ditamatkan jam 8.50 pagi.