Kebakaran Sandakan: Nekad Terjun Tingkat Dua Elak Rentung

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SANDAKAN: Dua beradik nekad terjun dari tingkat dua demi menyelamatkan diri selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian tengah hari ini.

Tindakan tersebut berjaya menyelamatkan nyawa Marina Zulfiqar, 24, dan adiknya, Risqi, 8, namun kedua-duanya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, insiden itu berlaku di Jalan Batu 2 Setengah di sini.

“Mangsa telah dibawa ke hospital oleh orang awam,” kata JBPM.

Menurut agensi itu, pihaknya terlebih dahulu menerima panggilan kecemasan daripada orang awam melalui talian MERS 999 berhubung sebuah rumah yang terbakar.

“Laporan daripada komander operasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman jenis separuh kekal yang terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 12.48 petang dan operasi memadam api tamat sepenuhnya pada pukul 2.32 petang,” kata JBPM.

Menurutnya, 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan telah dihantar ke lokasi menggunakan beberapa aset termasuk sebuah jentera pengangkut air.