Kebakaran Rumah Panjang Kg Hobut, Peter Anthony Hulur Bantuan Kilat

MATUNGGONG: Musibah yang menimpa 35 penduduk hilang tempat tinggal selepas rumah panjang didiami mereka di Kampung Hobut, Matunggong, Isnin lalu mendapat perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dan rombongannya semalam menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di tempat kejadian sebelum mengumumkan bantuan kilat kepada mangsa kebakaran.

Beliau berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan bagi menempatkan mangsa-mangsa kebakaran di penempatan sementara.

Peter ketika mengadakan lawatan di lokasi kebakaran di Kampung Hobut, Matunggong.

Jelasnya, untuk Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukkan untuk membina sembilan semula rumah yang musnah dalam kejadian pada Isnin lalu itu.

“Kita berada di perkarangan tapak ini kita nampak kebakaran semalam berlaku melibatkan sembilan keluarga .

“Di pihak kerajaan negeri kita telah meminta dan meluluskan pembinaan semula utk pembinaan sembilan rumah tersebut dgn serta merta.

“Saya telah arahkan JPPN untuk mengambil tindakan dengan segera di samping kita juga meluluskan RM50,000 untuk kerja-kerja pembaikan kuarters sementara JKR tersebut dan sedikit sebanyak dapatlah meringankan beban keluarga-keluarga yang terlibat,” katanya.

Peter berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerjanya di Kampung Hobut, Matunggong, baru-baru ini.

Terdahulu, dalam kejadian jam 5 petang Isnin lalu, sembilan keluarga melibatkan 35 penduduk hilang terpaksa sehelai sepinggang apabila kediaman dihuni mereka musnah dalam kebakaran berkenaan.

Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Isahak Jabas dalam satu kenyataan medianya baru-baru ini berkata, kemusnahan terdiri daripada satu blok rumah panjang memiliki tujuh pintu.

Beliau berkata rumah panjang berkenaan dibina daripada struktur separuh kekal mengakibatkan api merebak dengan cepat.

Operasi tersebut berjaya ditamatkan 8.29 malam dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian harta benda masih dalam siasatan bomba.