Kebakaran Musnahkan Puluhan Kediaman Di Daerah Penangah

387
Seorang penduduk menggunakan baldi cuba memadam api yang marak.

KOTA KINABALU: Kira-kira 50 buah rumah kediaman, kedai runcit dan bangunan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Stesen, Penangah di sini sejak pukul 5 petang tadi.

Seorang penduduk, Caroline, 37, ketika dihubungi Borneo Today berkata, setakat 8.30 malam ini api masih marak dan penduduk kampung berusaha mengawal api sedaya upaya menggunakan sumber air yang ada serta diangkut menggunakan baldi.

Beberapa kediaman musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Stesen, Penangah.

“Tidak ada apa-apa yang kami boleh lakukan kerana api terlalu marak, kami cuma mampu berdoa kepada Tuhan.

“Sehingga malam ini masih belum ada bantuan daripada pihak bomba, namun ada juga penduduk yang cuba menyiram api dengan air tetapi tiada kesan,” katanya kepada.

Menurut Caroline, pihak bomba telah dihubungi dan dalam perjalanan ke lokasi.

Api yang masih marak memusnahkan kediaman.

Ketika ini, seluruh Penangah bergelap kerana bekalan elektrik terputus.

Daerah Penangah terletak dalam Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut tetapi lokasi balai bomba terdekat adalah di daerah Beluran yang terletak lebih 150 kilometer.

Sejak beberapa tahun lalu, penduduk di situ termasuk beberapa daerah sekitarnya telah memohon supaya kerajaan membina sebuah balai bomba di lokasi berdekatan namun tidak pernah ditunaikan.

Lokasi balai bomba yang terlalu jauh menyebabkan kebakaran gagal dipadam.

Dua tahun lalu, keseluruhan bangunan asrama Sekolah Kebangsaan Pekan Tongod yang terletak berhampiran dengan daerah Penangah musnah sepenuhnya akibat kebakaran.

Dalam kejadian itu, pihak bomba hanya tiba di lokasi selepas api telah padam sendiri.