Kebakaran Musnahkan 81 Rumah Di Pulau Banggi, Kudat

1947

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Hanya dua hari selepas kebakaran yang memusnahkan 73 buah rumah di Pasir Putih, Putatan, negeri ini dikejutkan sekali lagi dengan tragedi malang itu yang berlaku di Kudat.

Dalam kejadian terbaharu di perkampungan atas air Kampung Perpaduan, Pulau Banggi pada pukul 2.30 petang ini, sebanyak 81 buah rumah musnah terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sebanyak 303 mangsa daripada 81 keluarga kehilangan kediaman dan harta benda masing-masing selepas gagal diselamatkan disebabkan api yang marak dengan cepat.

Video dari pembaca Borneotoday 

“Kebakaran juga melibatkan, satu bangunan sekolah dan dua unit rumah guru Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Menurut bomba, aduan telah diterima pihaknya daripada bilik gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat pada pukul 2.30 petang sebelum menghantar anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kudat untuk menghulurkan bantuan serta memadam api.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6.30 petang dan siasatan punca serta jumlah kerugian masih dilakukan.

“Mangsa kini berkumpul di dewan terbuka SK Karakit untuk pengiraan. Selain menumpang di rumah saudara mara, mangsa juga akan ditempatkan di Rumah Rehat Karakit Pulau Banggi dan dewan itu,” jelasnya.

Tambahnya, selain bomba, agensi lain turut terlibat menghulur bantuan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam serta sukarelawan Pulau Banggi.