Kebakaran: Lapan Rumah Atas Air Di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya Musnah

KOTA KINABALU: Lapan rumah di perkampungan atas air di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, dekat sini musnah dalam kebakaran, malam semalam.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam mengenai kejadian itu jam 11.06 malam.

Katanya, sepasukan lapan pegawai dan anggota dari BBP Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 7 kilometer dari balai dengan menaiki bot.

“Kebakaran membabitkan lapan rumah atas air dan enam daripadanya terbakar sepenuhnya manakala dua lagi terbakar 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ordine berkata Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pulau Gaya yang berada di lokasi, melakukan operasi pemadaman awal sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Operasi pemadaman awal dijalankan oleh PBS Pulau Gaya seramai 15 orang dengan menggunakan 1 aliran hos sumber air dari kapal pembekal air,” katanya.

“Tindakan pasukan bomba setiba di lokasi adalah mengambil maklumat kebakaran dan seterusnya membuat pemeriksaan kawasan kebakaran untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain,” katanya.

Kebakaran terkawal jam 12 tengah malam manakala operasi ditamatkan 40 minit kemudian.

Sementara itu, menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas sedang dikemas kini.

Namun setakat ini tujuh keluarga dilaporkan terjejas dalam kejadian itu.

“Setakat ini juga tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana semua mangsa tinggal di rumah keluarga terdekat,” kata laporan itu.