Kebakaran Di Silam: 150 Penduduk Tinggal Sehelai Sepinggang

Oleh ARDIHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Lebih 150 penduduk Kampung Teck Guan, Jalan Silam, tinggal sehelai sepinggang selepas 24 rumah termasuk rumah kongsi pekerja musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Pengelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 malam.

“Sebanyak empat jentera bomba dan dua kenderaan utiliti dengan kekuatan 31 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi, api kelihatan marak dan beberapa buah rumah sedang terbakar,” katanya.

Tambahnya, selain JBPM Lahad Datu, jentera dan anggota dari JBPM Kunak turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

“Keadaan terkawal dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 10.35 malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebahagian besar mangsa kebakaran ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara termasuk Masjid Nurul Ibadah Kampung Teck Guan, Gereja St Dominic dan kilang berhampiran selepas kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kami masih menyiasat punca kebakaran serta jumlah kerugian yang ditanggung mangsa.

“Selain polis dan bomba, operasi ini turut membabitkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memantau lokasi kejadian serta kebajikan mangsa di pusat penempatan sementara,” katanya.