Kebakaran Di Labuan: 74 Orang Hilang Tempat Tinggal

LABUAN: Tujuh puluh empat orang daripada 15 keluarga di Kampung Gersik di sini kehilangan tempat tinggal selepas empat buah rumah mereka yang diperbuat daripada kayu musnah dalam kebakaran hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Ismaidi Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.50 petang dan mengerahkan dua jentera ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengawal api.

“Api merebak dengan cepat kerana rumah terbabit dibina begitu rapat antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa tiga kenderaan turut musnah dalam kebakaran itu.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kebakaran.