Kebakaran Dapur Kantin Sekolah, Wanita Melecur

TUARAN : Seorang wanita pekerja sebuah kantin sekolah menengah di sini, melecur di tangan dalam kebakaran pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abd Qawie Abdul Gapar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku kebakaran di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, Tuaran, jam 10.32 pagi.

Katanya sepasukan 8 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Tuaran dikejarkan ke lokasi yang terletak 1 kilometer dari balai.

“Kebakaran melibatkan dapur tempat memasak dan sudah dipadamkan oleh Pasukan Kadet Bomba sekolah dengan menggunakan alat pemadam api.

“Terdapat seorang perempuan yang juga pekerja kantin, melecur di bahagian tangan dan telah dibawa ke hospital oleh pihak pengurusan sekolah untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Setelah membuat pemeriksaan di kawasan kebakaran untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan jam 10.50 pagi.