Kebakaran Dapur Hotel, Seorang Pekerja Melecur, Rakan Cedera

KOTA KINABALU: Seorang pekerja hotel melecur manakala rakannya
cedera ringan dalam kebakaran dapur akibat kebocoran gas di sebuah hotel di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4 pagi.

Katanya sepasukan 7 pegawai dan anggota dari BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi yang terletak 3 kilometer dari balai.

“Terdapat kebakaran dapur akibat kebocoran gas memasak di tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan oleh pekerja hotel sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Injap gas juga telah ditutup oleh pekerja hotel sebelum ketibaan bomba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ordine, mangsa yang melecur dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu oleh ambulans untuk rawatan manakala rakannya yang hanya mengalami cedera ringan, enggan dihantar ke hospital.

Pasukan bomba membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan jam 4.37 pagi tadi.