Kebakaran, 23 Kehilangan Tempat Tinggal

KOTA KINABALU: 23 orang dari empat keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Suok Batu, Kepayan berhampiran Cyber City, di sini, hari ini.

Kebakaran kira-kira 6.30 pagi itu memusnahkan empat buah rumah dan lima kenderaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.37 pagi.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bergegas ke lokasi kejadian.

Turut membantu, pegawai dan anggota BBP Kota Kinabalu.

Sebaik tiba, api sudah marak ke sebahagian besar rumah.

Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua rumah berhampiran daripada turut dijilat api.

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Kebakaran berjaya dikawal jam 7.06 pagi dan operasi tamat sepenuhnya jam 9.40 pagi.

23 mangsa yang kehilangan tempat tinggal kini ditempatkan di Dewan Kivavang, Kepayan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.