Kebakaran, 17 Rumah Musnah Di Semporna

SEMPORNA: Sekurang-kurangnya 17 rumah atas air di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Abdul Kadir Ab. Halalan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.20 pagi tadi.

Katanya sepasukan bomba dari BBP Atas Air Semporna dibantu sepasukan 20 pegawai dan anggota dari BBP Semporna dan BBP Kunak, dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran dianggarkan melibatkan 17 buah rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100%.

Operasi pemadaman menggunakan 2 aliran, 200 kaki dan 2 pancutan sumber air terbuka.

“Keadaan air laut yang cetek menyukarkan anggota untuk ke lokasi kejadian dan terpaksa berjalan kaki sejauh 150 meter dari bot ke kawasan kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi terkawal jam 9.58 pagi dan setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain, operasi ditamatkan jam 11.15 pagi.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.