Kebakaran : 17 Bilik Sewa Musnah

LAHAD DATU : 17 bilik sewa musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah 2 tingkat yang dijadikan pusat penginapan di Lorong 12, Felda Sahabat 3, di sini.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 8.38 pagi.

Katanya sepasukan 7 pegawai dan anggota bersama 2 jentera dari BBP Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 100 kilometer dari balai.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah 2 tingkat jenis separuh kekal berukuran 375 meter persegi yang dijadikan bilik sewa.

“Terdapat 7 bilik sewa di tingkat atas dan 10 bilik sewa di tingkat bawah yang terbakar 85%.

“Pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan 1 aliran, 122 meter, 2 pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba,” katanya dalam kenyataan.

Katanya tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Kebakaran dapat dikawal jam 10.54 pagi dan operasi ditamatkan jam 11.50 pagi.