Kebajikan Mangsa Kebakaran Pulau Banggi Tidak Pernah Diabaikan

740

 

 

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan akan berusaha memastikan semua mangsa kebakaran di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi bulan lalu mendapat bantuan sewajarnya termasuk menyediakan tempat tinggal yang bersesuaian untuk mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mohammad Mohamarin berkata, buat masa ini, terdapat kira-kira 30 keluarga yang masih tinggal di pusat penempatan disediakan kerana tidak memiliki rumah lain atau keluarga tempat menumpang.

Kata beliau, kelengkapan makanan, minuman dan keperluan harian setiap mangsa di situ bagaimanapun sentiasa cukup yang disediakan oleh pejabatnya, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menderma.

“Setakat ini semua cukup kerana banyak pihak menderma tetapi saya amat menggalakkan jika lebih ramai yang tampil untuk memberi sumbangan.

Hasbullah Taha

“Kami akan pastikan kehidupan mereka lengkap dan selesa walaupun serba kekurangan kerana terpaksa tinggal di dewan terbuka,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

Pada 13 Januari lalu, sebanyak 81 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi.

Tragedi berkenaan bagaimanapun tidak meragut nyawa, namun menyebabkan 77 keluarga tinggal sehelai sepinggang kerana gagal menyelamatkan harta benda masing-masing.

Mohammad berkata, beliau amat berterima kasih kerana kelmarin Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) tampil menyerahkan sumbangan baitulmal sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terlibat.

Katanya, bantuan berkenaan diserahkan sendiri oleh Yang Dipertua Muis, Datuk Seri Hasbullah Mohd. Taha.

“Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban mangsa dan memberi keceriaan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohammad berkata, beliau masih berusaha memohon kepada kerajaan untuk menggazetkan kawasan kebakaran itu sebagai perkampungan untuk membolehkan mangsa membina kediaman baharu masing-masing.

“Saya tahu proses ini tidak mudah dan saya perlu membuat permohonan, namun usaha membantu mangsa dan rakyat perlu diteruskan,” katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Kebakaran Musnahkan 81 Rumah Di Pulau Banggi, Kudat