Keahlian Ahli WARISAN Yang Bertanding Atas Tiket Bebas Terbatal

JAKE NOINTIN

OLEH NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Keahlian Ketua Bahagian Keningau Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Jake Nointin dalam WARISAN dibatalkan serta merta.

Ia berikutan tindakan beliau yang bertanding atas tiket Bebas semalam menentang calon WARISAN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah, Datuk Loretto Padua berkata, keahlian pemimpin atau WARISAN yang didapati bertanding atas tiket parti lain atau menjadi calon bebas pada PRN Sabah akan terbatal serta merta.

“Tindakan itu telah melanggar Perlembagaan Parti iaitu Fasal 7(3) 3.4 iaitu keahlian terhenti secara serta merta apabila seseorang ahli itu bertanding dalam Pilihanraya menentang calon parti dan atau tanpa kebenaran parti.

“Semasa proses penamaan calon semalam, saya diberitahu bahawa Datuk Jake Nointin yang juga Ketua Bahagian Keningau, telah bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan menentang calon WARISAN sebagai Calon Bebas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Oleh itu, Loretto berkata, Fasal 7 Perlembagaan WARISAN secara jelas menyatakan bahawa keahlian beliau dalam parti adalah terbatal serta merta.

“Beliau bukan lagi ahli WARISAN sejurus selepas pencalonan beliau telah disahkan.

“Saya telah berbincang dengan Presiden dan Timbalan Ketua Bahagian Keningau, Basal  Bullah dan kepimpinan parti telah mengamanahkan beliau sebagai pemangku Ketua Bahagian Keningau,” katanya.