KDN Nafi Tuduhan Beri Dokumen Kepada PATI, Persoal Politik Hajiji

2817
MOHD AZIS JAMMAN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri menafikan tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor kononnya kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat terlibat memberikan dokumen kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, dasar kerajaan ke atas PATI adalah jelas iaitu mana-mana yang berada di negara ini akan ditangkap, ditahan dan dihantar pulang.

Sehubungan itu, Mohd Azis mempersoal pendirian politik Hajiji yang kononnya telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi tetap membuat tuduhan dan bersuara serupa pemimpin UMNO seperti ucapannya di sebuah majlis Bersatu baru-baru ini yang dirakam di dalam video dan ditularkan di media sosial.

BERIKUT KENYATAAN PENUH BELIAU:

Saya terpanggil untuk menjawab isu yang di sebut oleh Hajiji Noor perihal PATI yang tular di media sosial tentang kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi dokumen kepada PATI.

HAJIJI MOHD NOOR

Suka saya tegaskan di sini bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak pernah mengarahkan pengeluaran atau pemberian dokumen kepada PATI kerana PATI ini bermaksud PENDATANG ASING TANPA IZIN yang masuk ke negara ini khususnya di negeri Sabah secara haram malah jika kita tangkap, kita akan tahan, dakwa dan hantar pulang ke negara asal mereka.

Maka siapa berikan dokumen kepada PATI? Warisan tidak pernah cakap kami mahu atau akan bagi dokumen kepada PATI sebab mana-mana PATI akan ditangkap dan hantar pulang.

Jika Hajiji maksudkan rakyat tanpa negara di Sabah, golongan yang lahir dan membesar di Sabah malah telah pun menjadi generasi ketiga dan keempat yang mana negara Filipina tidak mengiktiraf mereka ini sebagai rakyat Filipina.

Maka dengan ini masalah sama turut berlaku di Semenanjung yang diperjuangkan oleh kebanyakkan MP Pakatan Harapan di Parlimen bahawa kerajaan perlu memberikan golongan itu suatu jenis dokumen agar jumlah mereka dapat diketahui.

Mala Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dengan lantang bersuara supaya kanak-kanak tanpa negara yang ibu bapa mereka tidak boleh dikenalpasti perlu diberikan dokumen supaya boleh bersekolah, namun begitu kita bukan berikan kewarganegaraan, cuma suatu dokumen.

Cuma berikan dokumen supaya kita ada data dan jumlah mereka yang kerajaan UMNO dulu gagal menanganinya.

Hajiji lupa masalah PATI di Sabah adalah peninggalan UMNO/BN, malah Hajiji telah diceritakan dalam sebuah buku tulisan Chong Eng Leong sebagai terlibat pemberian Kad Pengenalan kepada PATI.

Benar atau tidak biarlah Hajiji jawab dan jelaskan dahulu sebelum beliau memfitnah Parti Warisan.

Sekali lagi saya mahu ingatkan NEGERI tiada kuasa memberi taraf kewarganegaraan kepada PATI, malah program pendaftaran rakyat tanpa negara akan diselaras sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Program ini pun masih di peringkat cadangan dan belum pun di laksanakan dan jika program ini dilaksanakan, kementerian mana yang bertanggungjawab ialah Kementerian Dalam Negeri di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Menteri saya dan saya sebagai Timbalan.