KDN Ambil Pendirian Sama Dengan Sabah Berhubung Pembatalan PSS

1491

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan negeri Sabah berhubung pembatalan Pas Sementara Sabah (PSS), menurut kementerian itu.

KDN dalam kenyataan hari ini berkata ia mengambil maklum keputusan kerajaan negeri Sabah membatalkan pelaksanaan PSS melalui mesyuarat Kabinet negeri yang diadakan semalam.

“Memandangkan keputusan pelaksanaan PSS ini merupakan persetujuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk), maka pihak kementerian selaku penyelaras bersama mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan negeri Sabah berhubung pembatalan PSS,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam mengumumkan pembatalan keputusan pelaksanaan PSS yang diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri negeri itu, dan akan memaklumkannya kepada KDN.

Menurut KDN, perkara itu diputuskan kerajaan negeri Sabah setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Pada September 2019, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah mengumumkan pelaksanaan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Mohd Shafie dilaporkan berkata selepas keputusan pelaksanaan PSS diumumkan pada September lepas, kerajaan negeri sentiasa mendengar apa yang disuarakan rakyat.

KDN dalam pada itu menegaskan tindakan penyelesaian berhubung isu pelarian di Sabah adalah komitmen bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan pusat yang mesti dilaksanakan secara berterusan dengan lebih teliti dan berhati-hati tanpa menjejaskan hak warganegara, kepentingan dan keselamatan rakyat di Sabah.

BERITA BERKAITAN: –

Shafie: Batal PSS Kerana Suara Rakyat

PSS Dibatalkan, Shafie Akan Maklumkan Pada KDN