KDCA Tolak Penganjuran Unduk Ngadau

Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Penganjuran Unduk Ngadau tahun ini perlu dilakukan di tempat lain berikutan keengganan Pusat Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) untuk menjadi tuan rumah.

Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, KDCA tidak akan menjadi tuan rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka boleh cari tempat yang lain jika mereka mahu tetapi itu terpulang kepada mereka.

“Namun, pertandingan itu tidak boleh diadakan di KDCA,” katanya.

Jeffrey berkata, semua ahli jawatankuasa KDCA kekal dengan keputusan sebelum ini untuk tidak mengadakan perayaan Kaamatan pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19 .

Menurut beliau, pelaksanaan pertandingan tahunan Unduk Ngadau itu akan melanggar PKP.

“Pertama, kami rasa pelaksanaan Unduk Ngadau di KDCA akan melanggar PKP kerana walaupun 50 peratus sahaja dibenarkan tetapi siapa yang akan menghalang orang ramai untuk datang?

“Kedua, bila kita mengadakan pertandingan Unduk Ngadau, kesemua peserta memerlukan jurusolek, dan mereka perlu pergi ke kedai rambut iaitu satu tempat yang berisiko untuk penularan Covid-19,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pertandingan tersebut tidak sesuai diadakan di KDCA seperti tahun-tahun sebelum ini.

Ahad lalu, ketua penganjur Kaamatan Negeri, Datuk Peter Anthony yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur mengumumkan bahawa pertandingan menyanyi, Sugandoi dan pertandingan ratu cantik, Unduk Ngadau akan diteruskan.

Menurut Peter, pusingan akhir bagi pertandingan Sugandoi akan diadakan secara atas talian, namun bagi pertandingan Unduk Ngadau, tujuh peserta yang layak akan berentap di KDCA pada 31 Mei nanti.

Walau bagaimanapun, pengumuman tersebut telah mengundang pelbagai reaksi daripad netizen di laman sosial.