Kawasan Dekat Bulatan Goshen Adalah Perangkap Maut

Pemandu kereta ini meninggal dunia selepas keretanya terbabas dan masuk ke dalam parit di Kota Marudu.

Oleh DENSON SAIDI
KOMEN: Kemalangan maut yang melibatkan seorang pemandu wanita pada 24/9/2017 di Jalan Kota Marudu-Langkon mendapat liputan meluas dalam media sosial dan arus perdana. Mendiang adalah saudara terdekat saya dan tidak terniat di hati ini untuk melukai sesiapa apalagi mempersoalkan takdir yang ditentukan olehnya.

Ketidakpuasan hati saya ialah lokasi kemalangan itu berlaku…. iaitu parit besar yang sedalam lebih dua meter itu hanya lebih semeter dari jalanraya yang berturap TANPA dipasang besi penghadang di tepi jalanraya atau apa-apa tanda yang menunjukkan ada parit/longkang besar di sana.

Saya boleh katakan bahawa kawasan tersebut adalah PERANGKAP MAUT kepada pengguna jalanraya. Pihak berwajib adalah bertanggungan untuk memastikan langkah-langkah keselamatan di jalanraya diambil semaksimanya.

DENSON SAIDI

Salah satu elemen dalam tuntutan undang-undang, iaitu ‘duty of care’ semacam mudah dipenuhi melihat kepada tiadanya apa-apa langkah keselamatan yang telah diambil oleh pihak berwajib di lokasi kemalangan tersebut.

Biarpun kesedaran ini umpama beberapa kali terantuk baru terngada tapi biarlah asalkan “better late than never”.

Pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya. Andainya musibah ini berlaku di negara yang rakyatnya kurang bertolakansur sudah pasti pihak berwajib sudah tak menang tangan untuk melayan aduan/rungutan/permohonan penjelasan dan mungkin tuntutan di mahkamah atas kecuaian.

May her soul rest in peace.

• Kalau ada pihak yang ingin mendapat keterangan lanjut tentang perkara di atas, saya sedia memberikan kerjasama sepenuhnya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan luahan hati saya itu. Lokasi kemalangan ialah 6.8KM dari bulatan pekan Goshen dan 2.2KM dari Simpang 3 Kedai Langkon – Denson Saidi adalah pembaca BorneoToday

Petikan berita dari bharian online: –

KOTA MARUDU: Seorang wanita maut manakala adik lelakinya cedera ringan apabila kenderaan yang dipandunya terbabas ke dalam parit, dalam kejadian di KM9 Jalan Kota Marudu-Langkon, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.50 pagi itu, mangsa, Joseh Banglah, 31, disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kota Marudu selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dada.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dengan adiknya, yang berusia 23 tahun dalam perjalanan dari arah Pekan Kota Marudu ke Simpang 3 Langkon.

Bagaimanapun setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Joseh itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar tebing parit sebelum terjatuh ke dalam parit serta terbalik.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Izaan Abdullah, berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan dada manakala adik lelakinya hanya mengalami kecederaan ringan.