Kawalan Rentas Daerah Berkuatkuasa Seluruh Sabah

PUTRAJAYA: Kawalan rentas daerah di seluruh Sabah dilaksana berkuatkuasa 12.01 tengah malam 3 Oktober hingga 16 Oktober.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Menteri-menteri hari ini.

Bagaimanapun, perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain adalah dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Bagaimanapun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuatkuasa seperti biasa.