KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, biarpun pergerakan rentas daerah telah dibenarkan, namun kawalan keselamatan masih diteruskan.
Katanya, langkah itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini terus terjaga.
Beliau berkata, semua pergerakan rentas daerah juga tidak perlu lagi mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa dan boleh dilakukan sama ada dengan menaiki pengangkutan awam mahupun kenderaan persendirian.
“Untuk kenderaan persendirian pula, mereka perlu mengikut had kapasiti penumpang yang ditetapkan.
“Kalau kenderaan persendirian, janganlah sampai enam atau 10 orang. Jika kenderaan itu hanya muat untuk empat orang, biarlah empat orang sahaja dalam kenderaan tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan negeri tentang pergerakan rentas daerah.
Selain menjaga sempadan daerah, kerajaan negeri juga akan terus memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan agar tidak dibolosi oleh anasir-anasir luar.
Untuk ziarah-menziarahi semasa Aidilfitri pula, Mohd Shafie berkata, biarpun kebenaran diberi untuk menziarahi, namun harus dikawal dengan baik agar jangkitan Covid-19 tidak terus menular.
“Kita tidak boleh ambil mudah perkara ini kerana ada fenomena baharu di Sabah apabila pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) kembali ke Sabah,” ujarnya.