Kawalan Keselamatan Di Perairan Sulu Dipertingkat Melalui TCA

TAWAU: Usaha memperkasakan kawalan keselamatan di periaran Laut Sulu dan Sulawesi akan terus dilakukan menerusi pelaksanaan semula Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Kerjasama ini telah dilakukan sebelum ini dan ia akan dirancakkan kembali melalui pertemuan yang akan diadakan pada 27 Januari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara akan mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut mengenai kerjasama tersebut.

Beliau berkata, semalam Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut meminta agar kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi dipertingkatkan.

Di samping itu, kerajaan juga akan memperkasa kawalan keselamatan di Sabah melalui pembinaan satu lagi kem tentera baharu di Felda Sahabat, Lahad Datu yang memerlukan kos bernilai RM646.15 juta.

Katanya, dengan adanya kem itu nanti, satu batalion infantri dan unit-unit 13 Briged akan dipindahkan di situ untuk meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan tentera darat dalam menangani ancaman.

“Ia sekali gus akan membantu mengukuhkan lagi tahap keselamatan di pantai timur Sabah,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Kem Kukusan di Tawau hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat lapan batalion menjaga keselamatan pantai timur Sabah ketika ini dan empat batalion sedang beroperasi dan empat lagi berpangkalan serta siap sedia untuk tangani sebarang kemungkinan.

Hishammddin berkata, sepanjang tahun lalu, operasi keselamatan melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjalan lancar dan berkeupayaan dalam menangani ancaman-ancaman yang menjadi perhatian ESSCOM termasuklah penculikan untuk wang tebusan (KFR), rompakan laut, penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta militan dan pengganas.

“Saya juga ingin laporkan kepada umum bahawa tiada rekod penculikan baharu direkodkan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sepanjang tahun lepas.

“Berdasarkan beberapa siri kejayaan sebelum ini, pihak ESSCOM maklumkan bahawa secara relatifnya, ESSZone adalah selamat dan terkawal. Namun begitu, itu tidak bermakna ESSCOM akan mengendurkan operasinya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menepis dakwaan pembangkang bahawa tiada kem tentera di Pantai Timur Sabah.

“Saya minta pembangkang agar jangan gembar-gemburkan bahawa tiada kem di Pantai Timur Sabah. Pembinaan kem di Lahad Datu kini sedang dalam proses.

“Kalau jadi pembangkang, jadilah pembangkang bertanggungjawab, jangan sampai takutkan orang ramai tanpa bersandarkan kepada fakta,” ujarnya.